Tuan Haji Muhammad Said Umar: Tokoh Mufassir Tanah Melayu

Latar Belakang Kehidupan

Nama penuh beliau ialah Haji Muhammad Said bin Umar Khatib bin Aminuddin bin Abdul Karim. Beliau dilahirkan pada tahun 1854 bersamaan 1275 H di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah. Para pengkaji tafsir dan para pengkaji sejarah Malaysia tidak dapat menentukan dengan tepat tarikh sebenar kelahiran kerana tidak terdapat sumber-sumber yang cukup mengenai kelahirannya, maka tidak terdapat info yang lengkap tentang kelahirannya. Oleh karena dilahirkan sebagai anak Kedah maka jolokan yang diberi kepada ialah al-Qadahi seperti yang tercatit pada penutup Tafsîr Nûr al-Ihsân pada jilid terakhir. Beliau dibesarkan bersama seorang saudara lelakinya dalam lingkungan keluarga yang diterapkan nilai-nilai keagamaan dan mendapat didikan langsung daripada bapanya iaitu Haji Umar Khatib. Beliau termasuk di antara 25 tokoh tafsir Malaysia yang tercatit di dalam buku Khazanah Tafsir Di Malaysia yang membahaskan tentang biografi, sumbangan, dan metode mereka dalam penafsiran.

Ayahnya ialah Haji Umar Bin Aminuddin. Dia merupakan seorang alim yang terkenal dengan jolokan ‘Khatib’ karena mempunyai ketokohan dalam memberi ucapan dan menyampaikan khutbah di khalayak ramai. Ketika hayatnya, itulah pekerjaan yang dilakukan sebagai satu sumbangan terhadap masyarakat dalam menegakkan syariat Islam. Bahkan, ayahnya merupakan seorang yang amat cenderung kepada membesarkan anak-anaknya dalam lingkungan Islam dan memberi bimbingan agama kepada mereka sehingga bimbingan tersebut memberi kesan jelas pada peribadi Tuan Haji Muhammad Said. Bahkan, beliau juga mempunyai sifat-sifat yang sama seperti sifat-sifat bapanya yang amat cenderung kepada agama dan melakukan apa yang telah dilakukan oleh bapanya.

Walau berasal dari Kedah, Tuan Haji Muhammad Said telah melanjutkan pengajian ke beberapa tempat di antaranya Changkat, Krian di Perak dan yang terakhirnya Sungai Acheh, yang sekarang ini dikenali dengan nama Kampung Kedah di Perak. Selepas berada di perantauan dalam tempoh yang lama, beliau pulang semula ke Kedah pada 1312H bersamaan 1891M dan ketika itu beliau berumur 37 tahun. Demi menuntut ilmu, beliau merantau lagi ke luar negeri seperti Pattani di selatan Thailand dan Mekah. Semasa menetap di Mekah, beliau memiliki sebidang tanah yang berada dekat daripada Masjid al-Haram tetapi kemudian tanah itu dibeli oleh kerajaan Arab Saudi dengan harga yang mahal. Maka dapat diandaikan bahawa beliau telah menetap di Mekah dalam masa yang lama sehingga memiliki sebidang tanah.

Ketika berada di Changkat, beliau membuka sebuah pondok pengajian dan mengajar di sana. Di sana beliau telah menikahi isteri pertamanya yang bernama Fatimah dan hasil pernikahan keduanya, mereka telah dikurniakan tiga putera. Putra-putra mereka ialah Haji Mahmud, Haji Muhammad, dan Haji Ahmad. Tetapi, isteri pertama beliau meninggal dunia dalam usia yang masih muda.

Selepas kematian isteri pertama, beliau menikahi isteri keduanya yang bernama Hajah Rahmah yang berasal dari Pulau Mertajam, Pulau Pinang dan dikurnia dua putera dan dua puteri. Putera-puteranya itu adalah Abdul Hamid dan Haji Omar. Manakala kedua-dua puterinya adalah Sofiah dan Fatimah.

Kemudian beliau berhijrah ke Kampung Kedah di Sungai Acheh, Perak akibat serangan siam ke atas Kedah. Ketika menetap di kampung tersebut, beliau mengajar dan mengerjakan sawah padi sebagai pekerjaannya. Di sana juga beliau menikahi isteri ketiganya yaitu Hajah Hamidah dan dikurnia 10 orang anak terdiri dari tujuh putera dan tiga puteri. Mereka adalah Haji Mustaffa, Haji Kassim, Cik Hassan, Haji Mohd Akib, Haji Hussain, Hajah Asma, Hajah Mariam, Siti Hajar, Haji Mansor, dan Haji Nasir.

Semasa menetap di Kampung Kedah ini, beliau didatangi oleh utusan daripada pihak Tengku Mahmud yang meminta beliau supaya pulang semula ke Kedah. Demi memenuhi permintaan daripada Baginda, beliau pulang ke Kedah dan diberi sebidang tanah di Kanchut. Tengku Mahmud merupakan salah seorang kerabat raja Kedah yang mendorong dan menyokong Tuan Haji Muhammad Said supaya menulis Tafsir Nur al-Ihsan seperti yang dijelaskan pada penutup karyanya itu. Setelah menetap di Kedah, beliau diberi jawatan ‘Guru Diraja’ untuk mengajar anak-anak raja dan di antara mata pelajaran yang diajar adalah tafsir al-Qur`an. Sementara itu, beliau juga diberi jawatan sebagai qadhi di Jitra iaitu pusat pemerintahan Kedah. Oleh karena diberi jabatan tersebut, beliau diberi gelaran Haji Said Mufti tidak lama kemudian. Di samping jawatannya sebagai qhadi, beliau juga menjalankan kegiatan menyebarkan risalah Islam dengan mengajar di masjid dan surau di sekitar Jitra.

Sehingga berumur 75 tahun, Tuan Haji Muhammad Said masih menjawat sebagai qadhi. Pada penghujung kariernya sebagai qadhi, beliau menghidap sakit lenguh badan yang menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan. Setelah keadaan beliau semakin sihat, beliau dibawa kepada isteri keduanya, Hajah Rahmah di Jitra. Setelah beberapa hari di Jitra, beliau dibawa kepada isteri ketiganya, Hajah Hamidah di Kanchut. Di sana beliau meninggal dunia pada hari Rabu, selepas masuk waktu Asar tanggal 22 Zulkaedah 1350H bersamaan 9 Mac 1932. Jenazah beliau disemadikan di Masjid Alor Merah, Alor Star, Kedah.

Keperibadian

Tuan Haji Muhammad Said merupakan seorang yang memandang serius pengetahuan dan pendidikan agama. Pandangan beliau itu dapat dilihat pada perbuatannya yang sentiasa mendidik anak-anaknya membaca dan menghafaz pada setiap malam sebelum waktu tidur. Beliau juga adalah seorang yang menekankan soal agama dan pendidikan. Beliau telah menyediakan kewangan untuk mengantar anak-anaknya ke tempat-tempat pengajian agama supaya mereka mendapat pendidikan yang terbaik, terutama putera-puteranya yang telah dihantar ke Mekah. Oleh karena itu, kebanyakan anak-anaknya berjaya menguasai bahasa Arab. Segala usaha Beliau tidak sia-sia, bahkan anak-anaknya pulang ke tanah air dengan membawa kejayaan mereka dan berbakti kepada negeri mereka sebagai guru-guru.

Pada masa yang sama, Tuan Haji Muhammad Said merupakan seorang yang terkenal dengan sifat pendiam. Dengan sifatnya itu, maka anak-anaknya dan masyarakat lokal menghormatinya. Walau sibuk dengan tugasan harian, beliau sentiasa meluangkan masa untuk membaca serta menelaah kitab. Beliau mempunyai prinsip tersendiri dan melakukan setiap perkara berdasarkan syariat. Ketinggian ilmunya telah menjadikan beliau terkenal dengan jolokan ‘Tok Lebai’ dan ‘Penulis dan Guru Tafsir Quran’. Panggilan yang paling tepat untuk beliau ialah ‘Guru Tafsir’ kerana merujuk kepada sumbangannya yang begitu besar dilakukan oleh beliau iaitu dengan wujudnya Tafsîr Nûr al-Ihsân dalam Bahasa Melayu yang boleh didapati di toko-toko buku. Karya beliau mendapat perhatian yang besar daripada masyarakat Melayu di Malaysia sehingga ia telah dicetak berulang-ulang bagi mencukupi permintaan yang banyak. Jika disebut nama beliau, pasti mengenali tubuh dan peribadinya itu adalah mesti, terutama di kalangan ulama’ Malaysia dan Thailand.

Pendidikan

Pendidikan awal yang diterima oleh beliau sejak kecil ialah daripada bapanya Haji Umar Khatib dan keluarganya. Lingkungan keluarganya turut berperan membentuk peribadinya yang murni dengan Islam. Tidak cukup dengan pendidikan daripada bapanya, beliau turut menuntut ilmu di pondok-pondok. Menurut Wan Mohd Shaghir, ada riwayat yang menyebut bahawa Tuan Haji Muhammad Said pernah belajar di pondok Bendang Daya, Pattani. Beliau sempat belajar daripada pengasas pesantren tersebut iaitu Syiekh Haji Wan Mustafa al-Faṯani atau Tok Wan Pa, yang lebih terkenal sebagai Tok Bendang Daya Pertama. Tetapi beliau lebih banyak berguru dengan Syiekh Wan Abdul Qadir Bin Wan Mustafa al-Faṯani (1820an-1895) yang terkenal sebagai Tok Bendang Kedua, yang merupakan putera daripada Tok Bendang Pertama yang meneruskan citra pengajian pondok warisan al-marhum bapanya.

Maka berdasarkan riwayat ini, bererti bahwa Tuan Haji Muhammad Said adalah rakan seguru dengan Haji Ismail Bin Mustafa al-Faṯani (1873-1948) atau terkenal dengan jolokan di Kedah sebagai Cik Doi atau Cik Dol, iaitu bapa kepada Tuan Guru Haji Hussein Cik Doi. Haji Ismail merupakan seorang alim dari Pattani yang menempa nama di Kedah dan pernah membantu Syiekh Haji Awang mengajar di pesantren beliau di Tualang di negeri tersebut. Dapat disimpulkan juga bahwa Tuan Haji Muhammad Said juga pernah menjadi rakan seguru kepada beberapa tokoh ulama’ dari Pattani yang berguru daripada Tok Bendang Daya Kedua seperti Tok Kelaba, Tok Jakir, Haji Abdul Rasyid Bandar, dan Tok Titi, Haji Muhammad Syah Sayok dan ramai lagi.

Tidak terdapat info-info yang konkrit dari hasil-hasil kajian dan penelitian tentang pengajiannya di tingkatan yang lebih tinggi dari sebelumnya. Maka perbahasan tentang latar belakang pendidikan Tuan Haji Muhammad Said tidak mungkin dapat dijelaskan. Tetapi kebanyakan para penyelidik dan dan penulis sejarah hidup beliau menyebut bahwa beliau pernah melanjutkan pengajian tinggi ke Mekah. Info-info lengkap tentang tahun dan peringkat pengajiannya di Mekah juga tidak ditemukan dari sumber-sumber di atas.

Mazhab Akidah dan Fikih

Tuan Haji Muhammad Said telah dikenali sebagai cendikiawan yang menganut mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamâ’ah. Walau tidak terdapat sumber tentang pegangannya dengan mazhab tersebut, namun ia dapat dilihat dari penafsirannya. Sementara itu, beliau telah mencatit pada penutup karya bahwa dirinya adalah seorang yang bermazhab Syafi’e dan pengikut Thariqat al-Naqsyabandiyah al-Ahmadiah. Kecenderungan beliau terhadap mazhab-mazhab tersebut boleh ditemukan pada corak penafsiran beliau yang menjelaskan sesuatu masalah feqah dengan bermacam mazhab fiqh yang mu’tabar terutamanya al-Syâfi’iyah. Beliau juga menafsirkan ayat-ayat yang menyentuh tema ibadah dan hukum-hukum dengan pendekatan yang terdapat dalam tafsir-tafsir Fiqhi.

Sumbangan Dan Karya Sumbangan

Sumbangan Dan Karya Sumbangan Tuan Haji Muhammad Said dalam bidang tafsir yang dinukil di dalam karya ialah Tafsîr Nûr al-Ihsân. Beliau terkenal sebagai seorang yang aktif menyebarkan risalah Islam dan mengajar di masjid-masjid. Walau kehidupannya dipenuhi dengan kesibukan sebagai qadhi serta penglibatan beliau bersama masyarakat, beliau masih sempat mengarang sebuah lagi karya yang diberi nama Fatwa Kedah. Minat beliau terhadap bidang penulisan bertambah selepas mendapat galakan daripada sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Hamid yang menjadi pendukung utama beliau untuk meneruskan karyanya.

About these ads

2 responses to “Tuan Haji Muhammad Said Umar: Tokoh Mufassir Tanah Melayu

  1. asslmm. wbt. Saya sedang mencari biografi dan foto ulama berikut:
    TG Hj Othman Yunus-Madrsh AnNahdhoh, Bukit Besar, Kedah
    TG Hj Abd Aziz ibrahim, Madrasah AlIslah, pendang, Kedah
    TG Hj Omar Zuhdi Hj Soleh- Madrsh Misbah AlFalah, Lanai, baling Kedah
    TG Hj Ramli Senik, Pondok Batu hampar, Pendang Kedah…
    harap tuan dapat menjayakannya…Terima kasih…
    Mudah-mudahan diberkati…Wslm

    • w’slm. insya Allah sy akn usahakn mencari biografi & foto ulama’ tersebut. tetapi, sy memerlukn mse yg pnjg utk menyempurnkannya. sy mohon maaf atas sgla kelemahan..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s