Mukjizat al-Kitȃb: Sarang Si Labah-labah

Firman Allah swt, surah al-‘Ankabȗt ayat 41:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Pendahuluan:

Waktu istirehat adalah waktu yang dihabiskan oleh manusia seorang diri. Maka hendaklah dia meneliti tentang kekuasaan Allah. Sejenak membaca halaman ini memberikan kita peluang meneliti tentang satu ayat dalam surah al-‘Ankabȗt, yang kita harapkan dapat mengutip mutiara-mutiara iman darinya insya Allah. Ia merupakan khazanah ilmu dari Tuhan yang menurunkan al-Qur`an supaya kita semaikan darinya keyakinan dan kekuatan taqwa.

Al-Qur`an sering memberi kesan mendalam pada diri kita dan sentiasa meneguhkan keazaman kita apabila keimanan mula luntur. Dari perkataan dan huruf yang terdapat dalam al-Qur`an kita membongkar banyak rahsia yang pernah ditemui oleh para ulama’ dan mufassir al-Qur`an. Tidak lain tidak bukan ia menjadi dalil keagungan al-Qur`an dan kemukjizatannya supaya umat Islam terus hidup dengan panduan Allah ke jalan kebenaran. Ia menghapuskan kabus hitam yang selalu diletakkan oleh musuh-musuh Islam.

Sesungguhnya satu lafaz dari al-Qur`an boleh diberi makna yang banyak, maka apa yang difahami oleh mufassir pada zaman tertentu adalah makna yang sesuai dengan makna-makna pada zaman kini yang dibongkar seiring perkembangan sains pada zaman akhir ini. Contohya seperti perkataan al-wahn dalam firman Allah swt:

 ﴿مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ﴾ [العنكبوت: 41]

41. misal bandingan orang-orang Yang menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah Yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal Sesungguhnya sarang-sarang Yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang Yang berpengetahuan.

Pemahaman ulama’ terdahulu dari ayat tersebut berbeza dari pemahaman oleh para pakar ilmu serangga pada hari ini. Perbahasan pemahaman tersebut akan dirangkumkan secara ditil insya Allah. Jika pemahaman ulama’ terdahulu tidak bercanggah dengan pemahaman moden, maka ia merupakan pemahaman ulama’ moden yang boleh dikira sebagai membaharukan dan menyempurnakan makna ulama’ terdahulu. Ia memberikan pendedahan akademik dan maklumat baru yang tidak ditemukan oleh ulama’ terdahulu. Ia menjadikan kemukjizatan ilmu yang mendukung kebenaran al-Qur`an yag dituturkan oleh Tuhan yang Maha Luas PengetahuanNya dan diturunkan kepada seorang nabi pilihan yang buta huruf supaya dia menyampaikannya kepada manusia. Baginda bukan pembohong dan bukan penyihir.

Makna al-wahn dari segi bahasa Arab:

Al-wahn bermakna lemah, ia adalah makna yang paling tepat dalam bahasa Arab tanpa sebarang pandangan lain. Maka boleh dimaksudkan kepada semua perkara yang terdapat kelemahan samada pada binaan, kekuatan, pandangan dan keutuhannya. Seperti ucapan Zakakria as:

﴿قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْباً وَلَمْ أَكُن بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيّاً﴾ [مريم: 4]

4. ia merayu Dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan Aku – Wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa Dengan doa permohonanku kepadamu.

Al-Farȃhȋdi berkata: “al-wahn: lemah pada amal dan pada semua benda (objek), seperti tulang dan seumpamanya. Umpama kata seorang lelaki yang lemah dalam pemerintahan dan pekerjaan, lemah tulang dan badannya”.

Huraian ayat:

Firman Allah swt:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ [العنكبوت: 41]

41. misal bandingan orang-orang Yang menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah Yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal Sesungguhnya sarang-sarang Yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang Yang berpengetahuan. – Surah al-‘Ankabȗt

Ayat membentangkan perumpamaan yang diberi oleh Allah swt menyamakan orang-orang menyekutukanNya dan sekutu-sekutu selainNya adalah seperti labah-labah yang membina sarang yang menakjubkan dari rupa dan bahan binaannya.

Dalam pemberian perumpamaan, dapat membantu memberikan maksud apa yang tidak tersembunyi. Kerana perumpamaan lebih membantu dalam menyampaikan kepada maksud sebenarnya. Perumpamaan bertujuan menyamakan yang tersembunyi dengan yang nyata, yang dapat dilihat dengan yang ghaib. Malah, mampu menyelesaikan pertikaian sebagaimana ditemukan banyak perumpamaan dalam al-Qur`an. Firman Allah swt:

﴿وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ﴾ [الزمر: 27]

27. dan Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal Perbandingan Dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. – Surah al-Zumar

firmanNya lagi:

﴿وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ﴾ [العنكبوت: 43]

43. dan misal-misal Perbandingan Yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang Yang berilmu Yang dapat memahaminya. – Surah al-‘Ankabȗt

Maka, perumpamaan memberi gambaran dalam bentuk keindividuan kerana ia lebih berkesan untuk membantu pemikiran yang disampaikan oleh pancaindera. Bermula dari itu, nyata bahawa tujuan perumpamaan menyamakan yang tersembunyi dengan yang nyata dan yang ghaib dengan yang disaksi. Al-Zamakhsyari berkata: sebenarnya perumpamaan digunakan bertujuan memberikan makna dan mendekatkan orang yang keliru kepada apa yang dapat disaksikan. Jika individu yang agung diumpamakan dengan individu yang hina, maka yang dimaksudkan dari itu keagungan dan kehinaan tetapi perkara lain yang terdapat pada individu yang agung itu. Adakah anda masih tidak melihat kepada kebenaran yang nyata seumpama cahaya dan kebatilan yang diumpamakan dengan kegelapan? Begitulah Allah menjadikan sarang labah-labah sebagai contoh al-wahn (kelemahan).

Allah swt membentangkan perumpamaan demikian untuk menunjukkan hinanya perbuatan menyekutukanNya. Golongan yang menyembah selain Allah berdoa kepada makhluk yang dianggap sebagai tuhan, mengharapkannya dan takut kepadanya sepertimana orang beriman berdoa, mengharap dan takut kepada Allah. Sedangkan ia adalah syirik yang paling besar yang ditegah orang para rasul-rasul Allah dan kitab-kitab yang diturunkan olehNya. Allah mengkafirkan orang menyekutuiNya dan menghalalkan darah dan harta mereka untuk orang-orang beriman.

Objek (al-musyabbah) adalah orang-orang kafir, objek yang diumpamakan (al-musyabbahu bihi) adalah sarang labah-labah dan faktor perumpamaan (wajhu al-syabhi) adalah kelemahan perbuatan syirik dan kehinaannya seperti sarang labah-labah. Oleh itu, kita mendapati para mufassir menjadikan kelemahan syirik sebagai faktor perumpamaan kerana mereka tidak menemukan lain-lain faktor yang ditemui oleh pakar-pakar ilmu biologi hari ini selepas berkurun-kurun dari penurunan al-Qur`an. Kita ikuti kata-kata mufassir dahulu, al-Tabari berkata: “maksud firman Allah tersebut (Surah al-‘Ankabȗt: 41): perumpamaan orang-orang yang menjadikan tuhan-tuhan dan berhala-berhala selain sebagai tempat mereka berharap pertolongan dan manfaat ketika diperlukan ialah mereka tenggelam dalam kelemahan jiwa, kegelapan hidup dan kesilapan pilihan untuk diri mereka sendiri seperti labah-labah yang lemah membina sarang yang megah tetapi sarangnya tidak dapat membantunya ketika ia memerlukannya. Begitulah perihal orang-orang musyrik, berhala-berhala mereka tidak membantu mereka dan tidak dapat menyelamatkan dari kemurkaan Allah”. Ibn Katsȋr berkata: “perumpamaan yang Allah swt bentangkan tentang orang-orang yang melantik tuhan selainNya serta mengharapkan pertolongan dan rezeki darinya, dan berdoa kepadanya saat kesusahan maka mereka seperti berada pada sarang labah-labah yang rapuh dan lemah. Mereka tidak dapat mencapai pertolongan tuhan mereka seperti orang yang berpaut pada sarang labah-labah tetapi sarang itu tidak memberikannya sesuatu pun. Jika mereka mengerti hal ini, mereka tidak akan melantik tuhan-tuhan selain Allah swt. Lain halnya orang-orang beriman yang jiwa mereka berpaut pada Allah. Mereka melakukan amalan baik dengan mengikut syari`at, maka mereka telah berpegang dengan tali yang utuh tidak akan putus kerana kekuatannya dan keteguhannya”.

Dapat ditemukan dari perbahasan di atas hubungan yang jelas di atas di antara perbuatan syirik dan sarang labah-labah. Kerana sarang labah-labah bukan sahaja tempat tinggal tetapi tempat memburu yang memangsai setiap serangga yang terbang berdekatannya seperti lalat dan cengkerik. Labah-labah akan memakan mangsa dengan ganas. Maka sama sepertinya orang-orang musyrik yang melantik tuhan selain Allah dan menyeru manusia menyembahnya sebenarnya mereka membawa diri mereka dan orang lain ke perangkap yang dalam sehingga tidak dapat melepaskan diri darinya. Sama sahaja hal samada yang disembah itu berbentuk harta, hawa nafsu, bangsa, pangkat dan lain-lain perkara yang memerangkap dan mengorbankan manusia dengan dihumban ke dalam neraka.

Sarang labah-labah menurut pandangan ilmu akademik:

Kajian akademik pada masa akhir ini mendedahkan bahawa labah-labah betina yang menyulam sarang bukan labah-labah jantan. Ia adalah fakta biologi yang tidak pernah diketahui sehingga waktu-waktu terdekat ini. Begitu juga ilmu akademik mendedahkan bahawa sarang labah-labah tiga kali ganda lebih kuat dari benang sutera dan lebih anjal. Maka, sarang labah-labah cukup kuat untuk menjadi tempat perlindungan yang kukuh dan selamat untuk labah-labah.

Realitinya ilmu akademik mendedahkan satu lagi rahsia biologi, iaitu sarang labah-labah tidak langsung mempunyai ciri-ciri sebuah rumah yang disifatkan sebagai tempat yang aman dan tenang. Labah-labah betina akan membunuh dan memakan labah-labah jantan mengawan dengannya. Malah anak-anak si labah-labah akan memakan si anak yang lain selepas keluar dari telur. Oleh itu, si labah-labah jantan pasti akan melarikan diri dengan segera dari sarang si betina selepas mengawan dengannya dan tidak akan memijakkan kakinya ke situ lagi.

Labah-labah betina menyulam sarangnya supaya ia menjadi perangkap kepada setiap serangga kecil yang mendekati sarang tersebut. Setiap tetamu dan pelawat yang memasuki sarangnya akan dibunuh. Sebelum ini, sebahagian para mufassir menyangka kelemahan sarang labah-labah adalah pada sulamannya. Tetapi dari pandangan akademik di atas adalah yang sebenarnya kelemahan pada hubungan kemasyarakatan dan kehidupan. Lebih dari itu, ia tidak mempunyai faktor-faktor perlindungan dari ancaman luaran seperti hujan, panas, sejuk, matahari dan debu seperti yang dikatakan dahulu oleh para mufassir.

Dapat disimpulkan bahawa sarang labah-labah adalah paling selemah-lemah (auhan – al-wahn) tempat tinggal dari segi makna kerana ketiadaan kasih sayang yang mesti ada dalam satu rumah yang bahagia. Dari sesetengah spesis labah-labah, si betina akan menghabiskan riwayat si jantan sejurus selepas ia mengawan bersamanya dengan membunuh dan mengigit si jantan kerana saiz si betina lebih besar dan lebih berbisa dari si jantan. Pada situasi yang lain, si betina akan membunuh si anak tanpa belas kasihan. Adapun spesis yang lain, si betina akan mati sejurus selepas mengeluarkan telurnya yang diletakkan dalam kepompong sutera. Apabila telur tersebut pecah, si anak-anak keluar dalam suasana yang cukup sesak dengan jumlah labah-labah yang banyak di dalam kepompong tersebut. Maka mereka mula membunuh sesama sendiri demi mendapatkan makanan, tempat atau kedua-dua sekali. Berlaku peperangan di  antara saudara-saudara sehingga tinggal jumlah yang sedikit di antara mereka. Apabila dinding kepompong pecah, maka si anak akan keluar darinya satu-persatu membawa hidup masing-masing. Di alam yang luas, si betina yang lain membina sarangnya untuk memerangkap si labah-labah kecil. Yang terselamat dari sarang tersebut akan terus hidup jauh dari rumah yang penuh kekejaman dan tiada hubungan kekeluargaan.

Sekeji-keji rumah adalah rumah yang tiada kasih sayang:  labah-labah betina akan memakan si jantan sejurus selepas mengawan, si anak-anak memakan sesama sendiri kerana terdesak, si jantan melarikan diri kerana ditakuti nyawanya melayang. Rumah yang demikian hanya dibina untuk kepentingan kebendaan dan keduniaan yang sementara. Apabila tiada lagi kepentingan dan manfaat, rosak hubungan di antara penghuni-penghuninya. Si betina mulanya cuba menarik perhatian si jantan ketika ingin mengawan dan berusaha menghabisinya selepas itu. Maka, si jantan melarikan diri demi hidupnya dari keganasan si betina dan gigitan beracun yang boleh membunuh.

Begitu sebuah sarang yang didiami anak-anak labah-labah dengan tenang dan tunduk di bawah naungan si ibu. Sehingga apabila kuat naluri pemangsa dan berbisa sengatan mereka, mereka ‘menderhaka’ ibu mereka lalu membaham dan memakannya. Sudah si bapa lari dari kejahatan si ibu, mereka pula yang memakan ibu mereka sendiri. Beginilah perumpamaan rumah di mana si anak ‘menghalau’ ibu dan bapanya, kadang-kadang si anak membunuh kedua-duanya demi mendapatkan ruang untuk pasangan dan anak-anaknya.

Sarang labah-labah: ia berfungsi untuk proses pengawanan dan pergaulan keluarga, makan dan rehat. Apabila si jantan memerlukan perkara-perkara tersebut ia akan memasuki sarang tersebut dan menjalankan peranannya sebagai si labah-labah jantan. Sehingga selesai peranannya, ia melarikan diri dalam ketakutan. Sarang tersebut adalah rumah yang dikuasai oleh si betina kerana ia membinanya dan membenarkan si jantan masuk. Si betina lebih suka hidup tanpa kekangan dari si jantan. Apabila si jantan mahu kekal di sarang itu, maka ia berada dalam keadaan terancam.

Peranan si jantan hanya untuk mengawan dan berteduh di bawah kaki si betina supaya si betina memakannya selepas proses mengawan. Ia merupakan pengakhir yang amat menakutkan. Jadi para mufassir berpandangan bahawa maksud dari ayat 43 surah al-‘Ankabȗt adalah kelemahan dari segi hubungan kemasyarakatan dan akhlak, bukan dari segi material binaan. Jika dibuat bandingan di alam serangga, fakta membuktikan bahawa sarang labah-labah adalah rumah paling lemah dari segi hubungan kekeluargaan dan penuh dengan sifat penting diri-sendiri serta kerakusan. Si betina akan memakan si jantan dan kadang-kadang si anak menjadi mangsa selepas keluar dari telur. Begitu juga sesama si anak apabila mereka berpeluang berbuat demikian.

Di samping itu, perkataan al-ankabȗt (labah-labah) di dalam ayat tersebut di atas dengan lafaz al-ta`nȋts (perempuan/betina) bukan al-tazkȋr (lelaki/jantan). Maka ulama` tidak mengetahui melainkan pada kurun akhir ini bahawa si labah-labah betina mengikat bebenang sutera dan menyulam jahitan rangkaian sarang. Lafaz  (اتَّخَذَتْ) tidak menunjukkan hanya kepada labah-labah betina tetapi adanya tugas-tugas membina sarang bertujuan didiami dan mencari makan.

Habitat dan sarang:

Allah menyediakan dan mewahyukan bagi setiap makhluk, haiwan liar dan serangga supaya membina habitat masing-masing dari bahan-bahan yang ada di bumi. Manusia membina rumah dari pelbagai bahan binaan seperti kulit-kulit haiwan, khemah dan bulu-bulu haiwan.

﴿وَاللّهُ جَعَلَ لَكُم مِّن بُيُوتِكُمْ سَكَناً وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلُودِ الأَنْعَامِ بُيُوتاً تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثاً وَمَتَاعاً إِلَى حِينٍ﴾ [النحل: 80]

80. dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), Yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas Rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.

Ada yang membinanya dari tanah, batuan, besi, kayu dan lain-lain kerana Allah memuliakan mereka dengan memberikan mereka akal dan menundukkan segala sesuatu kepada mereka. Adapun lebah menjadikan bukit-bukit sebagai  habitat dan membinanya lilin.

﴿وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتاً وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ﴾ [النحل: 68]

68. dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan Yang didirikan oleh manusia.

Maka Allah swt telah mempermudahkan faktor-faktor kehidupan yang sesuai kepada semua makhluk seperti habitat dan makanan. Dia menciptakan untuk makhlukNya habitat yang boleh memeliharanya dari elimen-elimen berat alam. Maka dapat dperhatikan bagaimana burung membina dengan ranting-ranting kecil kayu dan menakjubkan supaya habitat itu (sarang burung) selesa untuk didiami olehnya dan anak-anaknya. Semut kecil pula menggali tanah sedalam beberapa meter dan membentuk terowong-terowong dengan jalur yang berbeza supaya ia dapat menyimpan makanan dan bijian. Semut-semut juga berteduh di dalamnya ketika hujan, angin kencang dan serangan pemangsa.

حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ [النمل: 18]

18. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”.

sarang lebah

Sedangkan labah-labah membina sarang yang keseluruhannya berbeza. Sarang labah-labah diperbuat dari sulaman si labah-labah seperti sulaman jala ikan. Dari segi material binaan, sarang labah-labah adalah paling lemah kerana ia terbentuk dari rangkaian sulaman sutera yang kukuh dan terdapat jarak yang luas di antara satu sama lain. Sarang labah-labah tidak mampu memelihara penghuninya dari kepanasan matahari dan kedinginan cuaca sejuk. Ia tidak memberi teduhan yang cukup dari hujan lebat, angin kencang, serangan pemangsa. Keterangan tersebut menjadi salah satu kemukjizatan al-Qur`an. Penjelasan di atas menunjukkan bahawa kelemahan dan kepincangan adalah dalam sifat dalaman sarang labah-labah bukan pada sulamannya. Sarang labah-labah di antara objek paling kuat dalam biologi yang diketahui manusia sehingga sekarang. Boleh dikatakan kekuatan sulaman sutera sarang labah-labah lebih kuat dari keluli melainkan kuarza lebur lebih adalah lebih kuat darinya. Garis nipis sarang labah-labah boleh menjangkau kepada lima kali panjang sebelum memotong keluar. Kerana sifatnya itu, para ulama’ menggelarkannya “keluli semulajadi” atau “keluli biologi”. Ia lebih kuat 20 kali dari keluli yang dilombong.

Inilah hakikat yang menakjubkan, membawa kita kepada persoalan bagaimana keserasian makna kelemahan sarang labah-labah dengan kekuatan bahan binaannya. Seterusnya bagaimana boleh terkumpul dalam satu tempat adanya tahap paling dari segi lemah dan tahap paling dari segi kekuatan!?

Kemukjizatan:

Gambaran di atas yang menunjukkan bahawa sarang labah-labah adalah tempat tinggal yang paling pincang membuktikan kemukjizatan al-Qur`an dan ia dari Allah. Al-Qur`an tidak mengatakan lemah pada bebenang dan sulaman si labah-labah kerana ia mempunyai ciri-ciri tertentu yang menjadikannya kukuh sebagaimana yang telah dibahas di bahagian sarang labah-labah. Tetapi al-Qur`an menyebut sarang labah-labah dan semoga perbezaan kefahaman di antara kelemahannya dan materialnya dikuatkan lagi oleh penggunaan perkataan bait (sarang) bukan khait (sulaman) atau syabakah (rangkaian). Supaya al-Qur`an sentiasa menggariskan ayat-ayat dan keterangan-keterangan mukjizat yang tidak boleh dibantah oleh lidah-lidah pembantah dan diinsafi akal-akal yang waras.

Kebenaran ini tidak diketahui seorang pun pada zaman wahyu diturunkan sehingga selepas kajian mendalam bidang biologi labah-labah yang dijalankan oleh beratus-ratus ulama’ selama berpuluh tahun pada kurun ke-20. Maka benarlah firman Allah, maksudnya: “jika mereka mengetahui (tentang kepincangan sarang labah-labah)”. Tidak hairan lagi jika kita akan menemukan kemukjizatan ilmu pada zaman teknologi kini, tetapi yang menghairankan adalah golongan manusia yang tidak memikirkannya maka mereka mejadi sombong seolah-olah tidak mendengarnya.

﴿وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّى مُسْتَكْبِراً كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْراً فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ﴾ [لقمان: 7]

7. dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat kami, berpalinglah Dia Dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah Dia Dengan balasan azab Yang tidak terperi sakitnya.

اللهم اجعلنا ممن يستمعون القول فيتبعون أحسنه، سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s