Sambutan Hari Kelahiran Nabi Muhammad saw

1. Perayaan Maulid Nabi saw dan perayaan-perayaan Islam

Soalan: apakah hukum menyambut perayaan sempena mengingati kelahiran Nabi saw dan perayaan-perayaan Islam lain seperti perayaan pembukaan tahun Hijrah dan perayaan Isrâ` dan Mi’râj?

Syiekh Yûsuf al-Qardâwi menjawab:

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد …

Wujud segelintir orang-orang Islam menganggap bahawa merayakan, mempedulikan dan membincangkan tentang peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam,atau seperti penghijrahan Nabi Muhammad saw, Isrâ` dan Mi’râj, kelahiran Baginda saw, perang Badar Kubrâ, pembukaan Makkah dan beberapa peristiwa dalam sîrah Nabi Muhammad saw dan perbincangan mengenai topik-topik di atas juga adalah bid’ah (perkara yang diada-adakan sedangkan ia tidak dibenarkan) dalam agama Islam dan setiap bid’ah itu akan dimasukkan ke neraka. Pendapat tersebut adalah tidak tepat secara mutlak, tetapi apa yang kita mesti tegah adalah perayaan-perayaan yang dicampuri perkara-perkara mungkar. Malah dicampuri perkara-perkara yang bercanggah dengan dengan syari’at dan ajaran yang diturunkan Allah. Boleh dilihat perayaan sedemikian sebagaimana berlaku di sebahagian negara semasa perayaan hari kelahiran Nabi Muhammad saw dan hari-hari kelahiran untuk para wali Allah dan para sâlihîn. Akan tetapi, apabila kita berpeluang mengingati sirah Rasulullah saw, keperibadiaannya yang agung dan risalahnya untuk seluruh alam yang diutuskan Allah sebagai rahmat kepada seluruhnya, maka apakah jenis bid’ah dan jenis apakah kesesatan tersebut?

Sesungguhnya apabila kita menyebut tentang peristiwa-peristiwa tersebut, kita telah mengingatkan manusia tentang kurniaan yang agung. Mengingatkan orang lain tentang kurniaan Allah disyara’kan dan dituntut serta dipuji perbuatannya. Bahkan Allah swt memerintahkan kita supaya mengingatkan orang lain tentang kurniaanNya di dalam kitabNya, surah al-Ahzâb ayat 9-10:

(يا أيها الذين آمنوا اذكروا نعمة الله عليكم إذ جاءتكم جنود فأرسلنا عليهم ريحاً وجنوداً لم تروها وكان الله بما تعملون بصيرًا، إذ جاءوكم من فوقكم ومن أسفل منكم وإذ زاغت الأبصار وبلغت القلوب الحناجر وتظنون بالله الظنونا)

9. Wahai orang-orang Yang beriman, Kenangkanlah nikmat Allah Yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) Yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa Yang kamu lakukan.

10. masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah Dengan berbagai-bagai sangkaan.

Allah swt mengingatkan kita tentang perang al-Khandâq (parit) atau dikenali perang al-Ahzâb (puak-puak bersekutu) ketika puak Quraisy dan Ghatfân serta sekutu-sekutu mereka memerangi Rasulullah saw dan orang-orang Islam di kampung halaman mereka (al-Madînah al-Munawwarah). Mereka mengepung Madinah dengan menyekat perhubungan dan bekalan dari memasuki Madinah. Allah telah menyelamatkan Rasulullah saw dan para sahabat Baginda dari kesusahan dan mengutus angin dan bala tentera malaikat yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Allah swt mengingatkan mereka tentang peristiwa tersebut dan jangan kamu (orang-orang Islam) lupakan perkara-perkara tersebut. Maknanya, wajib kita mengingati nikmat-nikmat ini dan jangan kita melupakannya. Tersebut dalam ayat yang lain, surah al-Mâ`idah ayat 11:

(يا أيها الذين آمنوا اذكروا نعمة الله عليكم إذ هم قوم أن يبسطوا إليكم أيديهم فكف أيدهم عنكم واتقوا الله وعلى الله فليتوكل المؤمنون)

11. Wahai orang-orang Yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir Yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (Sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang Yang beriman berserah diri.

Allah mengingatkan Rasulullah dan para sahabat tentang apa yang telah dilakukan oleh Banî Qainuqâ’ yang berusaha memberontak terhadap baginda. Mereka mengatur perancangan dan helah sedang perancangan Allah swt lebih hebat dan lebih pantas, surah Al ‘Imrân ayat 54;

(ويمكرون ويمكر الله والله خير الماكرين)

54. dan orang-orang (Yahudi Yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak Yang membalas (dan menggagalkan Segala jenis) tipu daya.

Maka mengingatkan kurniaan Allah adalah dituntut supaya kita mengingati nikmat-nikmatNya. Apabila kita mengingatkan orang-orang Islam tentang peristiwa-peristiwa tersebut yang mengandungi pengajaran-pengajaran, adakah ianya perkara yang merosakkan? Adakah ia bid’ah dan adakah kesesatan?

والله أعلم

Diterjemahkan dari: Fatwa dan hukum oleh Syiekh Yûsuf al-Qardâwi

Sumber: http://qaradawi.net/fatawaahkam/30/1548-2010-03-01-06-40-04.html

2. Hukum menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad saw

Soalan: bersempena ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad saw yang akan datang, apakah hukum menyambutnya? Apakah kewajipan terhadap baginda saw?

Syiekh Yûsuf al-Qardâwi menjawab:

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد …

Wujud beberapa cara sambutannya yang kita boleh akui ia bermanfaat kepada orang-orang Islam. Sedangkan kita mengetahui bahawa para Sahabat ra tidak pernah menyambut kelahiran Rasulullah saw lebih-lebih lagi menyambut perayaan penghijrahan Nabi saw dan kemenangan perang Badar, mengapa?

Kerana yang sebenarnya para sahabat ra menghidupkannya secara praktikal. Mereka pernah hidup bersama Rasulullah saw dan baginda pernah hidup di kalangan mereka. Baginda tidak pernah hilang dari pandangan mereka. Sa’ad Bin Abî Waqâs berkata: kami pernah meriwayatkan kepada anak-anak kami tentang peperangan-peperangan Rasulullah saw sepertimana kami ajarkan mereka menghafal satu surah dalam al-Qur`an. Supaya mereka menceritakan kepada anak-anak mereka apa yang telah berlaku ketika perang Badar, Uhud, Khandâq dan Khaibar. Mereka turut menceritakan apa yang berlaku ketika hayat Rasulullah saw, maka mereka tidak perlu diperingatkan tentang perkara-perkara tersebut.

Kemudian datang satu masa ketika manusia mula lupa peristiwa-peristiwa di atas dan ia lenyap dari pengetahuan mereka. Malah lenyap dari pemikiran dan jiwa mereka. Maka manusia perlu menghidupkan “makna-makna” yang telah mati dan mengingatkan tentang pengajaran-pengajaran yang dilupakan. Adalah benar jika sebahagiannya mungkin dianggap bid’ah tetapi saya ingin perkatakan bahawa kita menyambutnya supaya dapat mengingatkan orang ramai tentang hakikat-hakikat sîrah al-nabawiyah dan al-risâlah al-Muhammadiyah. Ketika saya menyambut kelahiran Rasulullah saw saya menyambut kelahiran risalah Allah dan mengingatkan orang ramai tentang ajaran dan sejarah Rasulullah saw.

Ketika perayaan ini, saya memperingatkan orang ramai tentang peristiwa agung (kelahiran Rasulullah saw) dan lain-lain peristiwa yang boleh diambil pengajaran darinya. Supaya saya dapat mengeratkan orang ramai dengan sirah Rasulullah saw;

(لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا) [الأحزاب 21]

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). al-Ahzâb ayat 21

Kita boleh melakukan pengorbanan sebagaimana para sahabat ra berkorban untuk baginda saw. Ali ra berkorban nyawanya ketika meletakkan dirinya di atas katil baginda saw. Asmâ` berkorban tenaga mendaki bukit Tsûr setiap hari menghantar makanan kepada baginda saw. Supaya kita mengikuti jejak baginda saw ketika berhijrah dan bertawakkal sebagaimana baginda bertawakkal kepada Allah ketika Abû Bakar ra berkata kepada baginda saw: “demi Allah, wahai Rasulullah jika seseorang melihat apa di bawah kakinya pasti dia akan lihat kita”. Baginda berkata: “wahai Abû Bakar, yakinlah kita berdua ada Allah menjadi yang ketiga. Jangan bersedih, Allah bersama kita”.

Kita perlu mempelajari semuanya maka sambutan kelahiran Nabi Muhammad saw boleh membantu orang ramai mempelajari makna dari peristiwa tersebut. Saya yakin disebaliknya terdapat kesan-kesan positif iaitu menguatkan orang-orang Islam dengan ajaran Islam dan sirah Rasulullah saw supaya mereka mengambil dari baginda saw contoh pada tingkahlaku dan kepimpinan. Adapun apa yang terkeluar dari matlamat tersebut tidak termasuk dalam sambutan hari kelahiran baginda saw dan kita tidak akan mengakui kebenarannya jika seseorang melakukan perkara terbabit.

Diterjemahkan dari: Fatwa dan hukum oleh Syiekh Yûsuf al-Qardâwi

Sumber: http://qaradawi.net/fatawaahkam/30/1444.html

One response to “Sambutan Hari Kelahiran Nabi Muhammad saw

  1. Isk… betul ke nie ??? apa pon tahniah atas info ni..
    saya hargai penulisan awak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s