Demonstrasi aman: adakah halal menurut syara’?

Soalan: adakah harus mengadakan demonstrasi aman? Seperti demonstrasi oleh pekerja-pekerja buruh di salah satu negara Arab.

Dr. Yûsuf al-Qardâwi mendapat soalan tersebut dari seorang pembaca memohon pendapat dari beliau berkenaan keharusan mengatur demonstrasi di dalam hukum Islam untuk menunjukkan bantahan terhadap suatu masalah dalam urusan pemerintahan atau ekonomi sebagai contoh. Maka mengadakannya adalah haram sebagaimana diperkatakan oleh ulama` kerana ia merupakan bid’ah (perkara yang diada-adakan sedangkan ia tidak dibenarkan) yang ditolak dalam Islam. Sebagaiman diperkatakan oleh individu yang bertanya: apakah pendapat anda al-fadil (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) tentang pendapat yang diberikan oleh ulama` tersebut yang menyebut tiada pensyari’atan demonstrasi dan tunjuk perasaan, yang menyokong tuntutan syari’at atau membantah sesuatu di dalam pemerintahan atau ekonomi, hubungan diplomatik dan lain-lain.

Si alim tersebut berkata: bahawa mengatur demonstrasi, menyeru orang ramai kepadanya dan turut serta adalah haram. Dalilnya, sesungguhnya ia merupakan bid’ah yang tidak diketahui oleh orang-orang Islam. Ia bukan satu cara yang dilakukan orang-orang Islam tetapi ia diaplikasi dari negara Yahudi, Nasrani, Komunis, orang-orang kafir, ethis dan lain-lain.

Si alim itu mencabar supaya mendatangkan satu peristiwa demonstrasi pada zaman Rasulullah saw dan para Sahabat ra. Jika demonstrasi itu bertujuan mahu berhujah dengan pemerintah, maka ia terpesong dari ajaran Islam dalam memberi nasihat kepada pemerintah. Dan yang sebaiknya; lebih baik nasihat itu di antara pemberi nasihat dan pemerintah, bukan secara menentang terhadap pemerintah.

Dia berkata lagi bahawa demonstrasi banyak dilakukan vandalisme, memusnahkan harta-benda dan kemudahan-kemudahan. Oleh itu, ia wajib ditegah sebagai menghalang dari keburukan terjadi.

Adakah pendapat sedemikian boleh diterima dari segi syara’? Adakah wajar kepada manusia di seluruh dunia: mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan tuntutan mereka yang khas atau umum, dan mempengaruhi pandangan umum di kalangan. Seterusnya mempengaruhi pemerintah dan ahli undang-undang. Kecuali orang-orang Islam yang tidak berbuat demikian kerana diharamkan ke atas mereka menggunakan cara tersebut yang sudah menjadi trend dunia? Kami mengharapkan dapat mendengar dari anda (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) kata putus yang dikuatkan dengan dalil-dalil syara’ dalam permasalahan yang berkonflik tersebut, yang kian mendapat perhatian manusia sejagat di semua negara dan benua. Moga Allah swt memberi bimbingan dan memberi kebaikan kepada anda (Dr. Yûsuf al-Qardâwi). – soalan diajukan oleh sebahagian pelajar ilmu syar’ie.

Menjawab soalan yang diajukan, Dr. Yûsuf al-Qardâwi memberikan kata:

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن ابتع هداه…أما بعد

Di antara hak orang-orang Islam – adalah sama seperti individu-individu lain – mengadakan demonstrasi dan menunjuk perasaan sebagai mengekspresikan tuntutan mereka dari segi syara’ dan menyampaikan keperluan kepada golongan pemerintah dan ahli undang-undang dengan suara lantang yang tidak mungkin boleh diabaikan. Kadangnya suara seorang indivdu boleh jadi tidak didengari, tetapi sebaliknya suara satu perhimpunan manusia lebih kuat dari diabaikan. Apabila bertambah ramai peserta demonstrasi, dengan membawa keperibadian yang mempunyai kekuatan: suara mereka lebih didengar dan memberi kesan mendalam. Kerana keperluan satu kelompok lebih kuat dari keperluan individu. Seorang individu lemah dengan sebab keseorangannya dan kuat sebab bersama satu kelompok. Maka, Allah swt berfirman, surah al-Mâ`idah ayat 2:

{وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى}

2. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dan Rasulullah saw bersabda sambil baginda menghubungkan jari-jarinya:

“المؤمن للمؤمن كالبنيان، يشد بعضه بعضا”

Maksudnya: “seorang muslim kepada seorang muslim seperti satu bangunan, satunya memperteguhkan yang lain”

Dalil pensyari’atan demonstrasi:

Demonstrasi termasuk di antara adat dan urusan keduniaan. Asal hukumnya adalah: harus.

Itulah perkara yang ditetapkan oleh syara’ dengan dalil-dalil – sejak hampir setengah kurun – dalam bab pertama dalam buku (الحلال والحرام في الإسلام) yang menjelaskan asas pertama bahawa kaedah pertama dalam bab tersebut adalah: bahawa hukum asal pada semua perkara adalah harus. Ia adalah pendapat yang tepat dan terpilih oleh majoriti fuqahâ` (ulama` fiqh) dan usûliyûn (ulama` usûl al-fiqh).

Maka tiada pengharaman sesuatu melainkan perkara yang tersebut pengharamannya dengan dalil yang sahih sumbernya dan jelas menyatakan pengharaman. Adapun yang lemah sumbernya samada pada jalur periwayatan ataupun yang sahih sumbernya tetapi tidak jelas penyataannya atas pengharaman, maka ia kekal di antara sesuatu yang harus sehingga kita mengharamkan suatu yang dihalalkan Allah. Bermula dari itu, sememangnya tidak banyak perkara-perkara yang diharamkan dalam syari’at Islam dan banyak perkara yang halal. Kerana dalil-dalil yang sahih sumber dan jelas pernyataan haram amat sedikit. Dan suatu yang tiada dalil halal dan haramnya, ia kekal sebagai suatu berhukum harus yang diberi kemaafan oleh Allah swt.

Diriwayatkan hadis:

“ما أحل الله في كتابه فهو حلال، وما حرم فهو حرام، وما سكت عنه عفو، فاقبلوا من الله عافيته، فإن الله لم يكن لينسى شيئا”.

Maksudnya: “suatu yang Allah halalkan dalam kitabNya adalah halal, apa Dia haramkan adalah haram, apa yang didiamkanNya adalah kemaafan. Maka, terimalah kebaikan dari Allah, sesungguhnya Allah tidak pernah lupa”. Dan Rasulullah saw membacakan:

{وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا} مريم:64

64. dan tiadalah Tuhanmu itu lupa. – Surah Maryâm ayat 64

Salman al-Fârisi meriwayatkan: Rasulullah saw pernah ditanya tentang majerin, keju dan bulu baginda menjawab “halal adalah perkara yang dihalalkan Allah dalam kitabNya, haram adalah perkara yang diharamkan Allah dalam kitabNya, dan yang didiamkan maka ia di antara perkara Dia maafkan untuk kamu”. Maka Rasulullah enggan menjawab soalan individu yang bertanya tentang bahagian-bahagiannya, tetapi menbentangkan satu kaedah yang membantu mereka rujuk kepadanya untuk mengetahui halal dan haram. Sudah mencukupi apabila mereka apa yang diharamkan Allah, maka setiap perkara selainnya adalah halal lagi baik.

Rasulullah saw pernah bersabda: “sesungguhnya Allah menetapkan perkara-perkara wajib maka jangan kamu sia-siakannya, Dia meletakkan batas-batas maka jangan kamu melampauinya, Dia mengharamkan perkara-perkara tertentu maka jangan kamu melanggarnya, dan Dia mendiamkan perkara-perkara tertentu kerana rahmat kepada kamu bukan lupa maka jangan kamu membahaskannya”.

Sukacita saya (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) menegaskan bahawa asal hukum harus tidak hanya khusus pada objek-objek, tetapi merangkumi perbuatan dan pergaulanyang tidak termasuk dalam urusan ibadah, yang kita namakannya sebagai: adat dan pergaulan. Maka hukum asalnya tidak haram dan tiada syarat melainkan apa yang diharamkan oleh syara’ dan ia menegaskannya. Ia umum samada pada objek dan perbuatan. Firman Allah swt, surah al-An’âm ayat 119:

{وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ}[الأنعام:119]

119. padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa Yang diharamkanNya atas kamu.

Berbeza dari ibadah yang semestinya merupakan sebahagian dari urusan agama, tidak disampaikan melainkan melalui wahyu. Tersebut berkenaannya satu hadis sahih, maksudnya: “sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu yang tiada dalam urusan agama kami maka ia ditolak”. Difahami dari hadis tersebut hakikat agama Islam merangkumi dua perkara: tidak layak disembah melainkan Allah, dan tidak layak disembah melainkan apa yang Dia syari’atkan. Maka sesiapa yang mereka-reka suatu ibadah adalah dariNya, maka ibadah berkenaan adalah sesat dan ditolak. Kerana Allah swt adalah satu-satunya yang mempunyai kelayakan menentukan ibadah untuk kita mendekatkan diri kepadaNya.

Manakala adat dan pergaulan, ia bukan ditentukan oleh Allah swt tetapi manusia yang menentukannya dan mengaplikasikannya. Hukum Allah swt hanya mengesahkan, membetulkan dan kadangnya meneguhkan lagi perkara-perkara yang tidak mengandungi keburukan dan mudarat.

Syaikh al-Islâm Ibn Taimiyah pernah berkata: sesungguhnya tindakan hamba-hamba Allah yang terdiri dari perkataan dan perbuatan ada dua jenis: ibadah yang mengelokkan agama mereka, dan adat yang mereka perlukan dalam urusan keduniaan. Melalui pembacaan dalam asal-usul syari’at kita mengetahui bahawa ibadah merupakan perkara yang diwajibkan atau disukai Allah tidak ditentukan melainkan dengan syara’.

Adapun adat merupakan perkara yang menjadi kebiasaan yang diperlukan manusia dalam urusan keduniaan mereka. Hukum asal padanya tiada larangan, maka ia tidak dilarang melainkan apa yang dilarang oleh Allah swt. Kerana setiap perintah dan larangan adalah ketentuan Allah. Ibadah pasti merupakan perkara yang diperintah, maka apa tidak ditetapkan perintah Allah dengannya –iaitu adat- bagaimana ia dihukumkan sebagai perkara dilarang?

Menjawab persoalan di atas, Ahmâd dan fuqahâ` cabang hadis berkata: hukum asal dalam ibadah adalah tertangguh, tidak ditetapkan melainkan perkara yang sudah ditetapkan Allah. Jika sebaliknya, kami mengatakannya ia seperti makna firman Allah swt, surah al-Syûrâ ayat 21:

{أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ}الشورى:21

21. Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu Yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang Yang tidak diizinkan oleh Allah?

Hukum asal pada adat adalah kemaafan, maka tidak dilarang melainkan apa yang diharamkan Allah. Jika sebaliknya, kami mengatakannya dalam makna firman Allah swt, Yûnus ayat 59:

{قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلاَلاً}يونس:59

59. Katakanlah (kepada kaum Yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu Yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?”

Ia adalah kaedah yang besar manfaatnya, maka kita katakan:

Jual beli, hadiah, penyewaan dan lain-lainnya di antara adat-adat yang diperlukan manusia dalam kehidupan mereka – seperti makan, minum dan memakai pakaian -, maka syari’at membawa kepada adat-adat tersebut adab-adab yang baik. Ia mengharamkan apa yang mengandungi keburukan, mewajibkan apa yang mesti, memakruhkan apa yang tidak sepatutnya dan menggalakkan apa yang mengandungi kebaikan pada semua jenis adat, kadar keperluannya dan sifat-sifatnya.

Maka oleh itu, manusia boleh melakukan jual beli dan sewa-menyewa dengan apa cara yang mereka inginkan, selagi tidak diharamkan oleh syariat. Seperti mereka mkan dan minum sebagaimana mereka mahu selagi tidak diharamkan oleh syari’at – walaupun sebahagian adat itu digalakkan, atau makruh – dan selagi syari’at tidak meletakkan batas, maka ia kekal dengan hukum asal (harus). – tamat –

Di antara dalil yang menunjukkan keharusan di atas iaitu satu hadis dari Jâbir Bin ‘Abdillah  berkata, maksudnya: “kami mengasingkan diri dari orang ramai sedangkan al-Qur`an diturunkan, maka jika ada sesuatu yang terlarang pasti al-Qur`an melarangnya”.

Hadis di atas menunjukkan bahawa perkara yang tidak disebut oleh al-Qur`an tidak ditegah. Mereka (para sahabat Rasulullah saw) terus melakukannya sehingga datang dalil yang menyebut larangan. Itulah di antara kesempurnaan ilmu fiqh para sahabat baginda saw. maka ia merupakan dalil yang meneguhkan kaedah utama di atas: tidak ditetapka ibadah melainkan dengan ketentuan Allah swt, dan tidak diharamkan suatu adat melainkan pengharaman dari Allah swt.

Adapun kata yang mengungkapkan bahawa demonstrasi adalah bid’ah tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw dan para sahabat ra, setiap bid’ah adalah sesat, setiap kesesatan di dalam neraka: adalah ungkapan yang silap. Kerana maksudnya hanya boleh diaplikasikan pada urusan ibadah dan urusan agama sahaja. Maka hukum asal pada urusan agama adalah al-itba’ (mengikut ketetapan agama) dan pada urusan keduniaan al-ibtidâ’ (mengadakan ketetapan sendiri).

Maka para sahabat dan para tabi’în lebih terdahulu menetapkan banyak perkara yang tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah saw. Di antaranya ketetapan yang dikenali sebagai auliyât ‘Umar (ketetapan utama ‘Umar ra) yang dimulakan oleh ‘Umar ra tiada orang mendahuluinya. Seperti: mewujudkan kalendar khas bagi orang-orang Islam, membentuk negeri-negeri, menubuhkan dewan-dewan pemerintahan, membina penjara kepada banduan dan lain-lain lagi.

Selepas zaman para sahabat ra, para tabi’în dan murid-murid mereka mengadakan banyak lagi perkara lain, seperti mencetak mata wang Islam sebagai ganti dirham Parsi dan dinar Rom. Mewujudkan sistem pos, membukukan sains dan mencipta ilmu-ilmu baru seperti usûl al-fiqh, al-nahw, al-saraf, al-balâghah, ilmu bahasa Arab dan lain-lain lagi.

Orang-orang Islam pernah menubuhkan sistem al-Hisbah (satu institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi mengawasi kegiatan individu dalam perkara berkaitan akhlak, agama dan ekonomi). Mereka meletakkan kaedah-kaedah, hukum-hukum dan adab-adab di dalam institusi tersebut. Mereka turut mengarang banyak karangan mengenainya.

Maka menjadi kesilapan dari segi panduan agama: menuntut dalil khusus mengenai penetapan satu perkara yang termasuk di antara adat, maka kita yakin bahawa tiada dalil yang menegahnya dari syara’.

Dakwaan bahawa demonstrasi diambil pakai dan diperundangkan dari orang-orang bukan Islam: tidak menyabitkan pengharaman demonstrasi selagi ia masih harus pada zatnya. Orang-orang Islam melihat demonstrasi adalah perkara yang bermanfaat untuk mereka. “Kebijaksanaan itu barang tercicir orang beriman, jika dia menemuinya maka dia manusia paling berhak mendapatkan”.

Orang-orang Islam pada zaman Rasulullah saw mengambil pakai strategi menggali parit di keliling Madinah, untuk mempertahankannya dari serangan orang-orang musyrik sedangkan ia adalah di antara strategi Parsi.

Rasulullah saw pernah menggunakan cop mohor. Ia membuktikan bahawa baginda melakukan perkara-perkara seperti menulis surat. Sesungguhnya raja-raja dan pemerintah-pemerintah di seluruh dunia tidak menerima sebarang surat utusan melainkan ia disahkan oleh cop mohor.

Para sahabat ra memperundangkan al-Kharrâj (cukai tanah) dan sistem pemerintahan dari kerajaan Parsi yang mempunyai sejarah panjang untuk dijalankan di Madinah. Mereka juga memperundangkan penubuhan dewan-dewan pemerintah dari kerajaan Rom, ia juga mempunyai sejarah panjang dalam perkara tersebut.

Orang-orang Islam menerjemahkan banyak buku yang mengandungi kisah-kisah orang terdahulu, yang dikembangkan, diperbaiki dan dirujuk oleh mereka. Mereka memulakan algebra yang diperakui oleh ahli sejarah ilmu.

Mereka hanya melihat sudut ketuhanan Allah dalam arkib Yunani kerana Allah memberikan kekuatan akidah Islam kepada mereka yang menjauhkan mereka dari keberhalaan Yunani dan perkara-perkara yang mengandungi cerita-cerita dongeng.

Individu yang mengkaji kehidupan kita pada masa kini dalam pelbagai bidang boleh menemui pelbagai perkara yang kita ambil dari negara-negara Barat. Samada dalam bidang pelajaran, penerangan, ekonomi, pentadbiran, politik dan lain-lain. Maka idea tentang perundangan, pilihanraya dengan cara terkini, pembahagian kuasa, menerbitkan akhbar, radio dan televisyen sebagai medium-medium penyampaian, termasuk juga internet.

Kebanyakan sistem pelajaran yang diwujudkan dengan sekolah, fakulti, pendidikan, tahap-tahapnya diambil pakai dari Barat.

Ketika Syiekh Rifâ’ah al-Tahtâwi pergi ke Paris sebagai ketua delegasi Mesir, beliau melihat rupa bentuk bandar yang belum pernah beliau lihat dan kagum dengan ketamadunannya. Beliau pulang dan memberi kesedaran kepada masyarakat Mesir akan kepentingan mengambilpakai sistem-sistem yang dimajukan oleh orang-orang Barat. Sehingga tidak lagi berlaku Barat terus maju sedangkan Mesir masih mundur. Bermula dari saat itu, orang-orang Mesir dan masyarakat Arab mula mengaplikasi sistem-sistem dari Barat. Lebih terdahulu lagi, Kerajaan Utsmâniyah pernah mengaplikasikan apa yang dimajukan oleh Barat.

Setiap perkara-perkara diambilpakai dari Barat sedangkan kita tidak perasan kita mengambilnya dari mereka. Ia bukan asing lagi bagi salah seorang ulama` syara’ dan selain mereka maka ia diakui oleh umum. Bangsa Barat pernah mengambil pakai dari orang-orang Islam pada masa dahulu. Mereka memanfaatkan ilmu-ilmu kita pada awal kebangkitan Eropah, surah Al ‘Imrân ayat 140:

{وَتِلْكَ الأيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ}

140. dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan Dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)

Apa yang penting ialah kita mengambil apa yang bertepatan dengan akidah, nilai-nilai dan perundangan agama kita, bukan apa yang bercanggah dengannya dan yang kurang darinya. Maka yang sebenarnya diambil adalah perkara yang bermanfaat bukan yang memudaratkan. Perkara yang penting mesti dikutip oleh seorang muslim ialah: perkara yang berkaitan dengan urusan kehidupan yang terus berkembang. Nyata bahawa ia berhubung dengan cara-cara dan alat-alat yang mempunyai ciri keanjalan dan boleh berubah, bukan tujuan dan asas yang berciri teguh dan kekal.

Merujuk kata individu yang bertanya, menyandarkan demonstrasi kepada golongan beraliran komunis dan ethis adalah tidak tepat. Sistem komunis tidak mengizinkan demonstrasi secara mutlak. Kerana sistem komunis menggunakan kekerasan untuk membataskan kebebasan, menutup mulut dan tunduk secara mutlak kepada pemerintah dan kekuasaan mereka.

Dua kaedah yang penting:

Saya (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) ingin menegaskan dua kaedah dalam kepentingan demonstrasi:

  • Al-Maslahah al-Mursalah (kepentingan umum): kaedah ini tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah saw, para al-khulafâ` al-râsyidîn, tidak juga pada zaman-zaman awal orang-orang Islam. Tetapi ia diwujudkan oleh ulama` pada zaman kini. Termasuk dalam kaedah Al-Maslahah al-Mursalah perkara yang tidak pernah tersebut dalam syara’ sebarang dalil yang mengakui atau menghapuskannya.

Syaratnya: perkara tersebut tidak termasuk dalam urusan ibadat mengelakkan dari berlaku bid’ah. Ia bukan dari jenis kepentingan yang pernah diakui oleh syara’. Bukan juga dari perkara yang boleh diterima akal secara langsung. Ia tidak bercanggah dengan dalil syara’ dan kaedahnya.

Majoriti ulama` fiqh muslimin mengakui Al-Maslahah al-Mursalah sebagai satu dalil dari segi syara’ yang boleh dipakai dalam perundangan, fatwa dan pemutusan hukum. Sesiapa yang membaca kitab-kitab fiqh pasti menemui beratus-ratus contoh hukum-hukum tidak diletakkan sebab melainkan dengan sebab kepentingan dapat diambil dan kemudaratan dapat ditolak. Para sahabat Rasulullah saw – sedangkan mereka adalah orang-orang yang paling memahami syari’at – lebih banyak menggunakan sebab kepentingan umum dan bersandar kepadanya.

Al-Maslahah al-Mursalah mula berkembang secara dalam aliran fiqh al-Mâlikiyah, tetapi al-Imâm syihâb al-Dîn al-Qurâfi al-Mâliki (meninggal pada 684H) berkata dalam ucapan beliau sambil menolak kata khusus kaedah tersebut dalam al-Mâlikiyah: “apabila tiada lagi mazhab-mazhab tersebut kamu mendapati mereka (orang-orang Islam) kaku atau bersatu atau berpecah di antara dua permasalahan. Mereka tidak mencari dalil untuk mengakui perkara yang mereka sepakat dan berselisih, bahkan mereka cukup hanya dengan munasbahnya. Itu ialah Al-Maslahah al-Mursalah yang terdapat dalam semua mazhab fiqh.

  • Lil wasâ`il hukm al-maqâsid (Cara yang mempunyai tujuan dari segi hukum agama): iaitu bagi semua cara dalam urusan adat ada tujuan dari segi hukum. Apabila apabila tujuannya diakui oleh syara’, maka medium (cara-cara) kepadanya diberi hukum yang sama sedangkan cara tidak pernah pada zatnya.

Oleh kerana itu ketika kemunculan medium penyampaian baru seperti televisyen, ramai orang bertanya adakah ia halal atau haram? Ahli ilmu menjawab bahawa perkara-perkara sedemikian tiada hukum pada zatnya tetapi hukumnya bergantung pada tujuan penggunaannya. Apabila anda bertanya tentang hukum senapang (rifle) kami menjawab bahawa jika ia berada di tangan seorang mujahid, dia akan menggunakannya berjihad menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Manakala apabila berada di tangan pemberontak, senapang berkenaan membantunya melakukan jenayah dan kemusnahan di muka bumi.

Begitu juga hukum televisyen, siapa yang menggunakannya untuk mengetahui berita-berita dan mengikuti program-program bermanfaat samada dari segi keilmuan, politik, ekonomi malah hiburan dengan syarat dan kaedah tertentu. Maka tiada keraguan mengenai keharusan televisyen dari segi syara’ bahkan ia menjadikan kita lebih dekat kepada Allah dan beribadah kepadanya dengan niat yang baik. Berbeza dari orang yang menggunakannya untuk melakukan pemborosan, perkara tidak senonoh dan pelbagai pemikiran dan perlakuan negatif.

Sama hukumnya mengenai demonstrasi dan tunjuk perasaan. Jika masyarakat keluar berdemonstrasi untuk mencapai matlamat yang diterima syara’ seperti menyeru pemerintah menegakkan undang-undang syari’ah, membebaskan tahanan yang dipenjara tanpa perbicaraan, menghentikan pemerintahan kuasa tentera terhadap masyarakat, menghapuskan akta-akta yang memberikan kepada para pemerintah kuasa mutlak, atau menyatakan tuntutan masyarakat umum. Tuntutan tersebut seperti memenuhi keperluan makanan, petrolium, gula, ubatan, gas atau lain-lain tuntutan yang tidak diragukan lagi tentang tujuannya dalam syara’. Para ulama fiqh ragu mengenai keharusan contoh-contoh tuntutan berkenaan.

Saya (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) ingin menyebut bahawa ketika saya berada di Algeria, sebahagian mahasiswi muslimah yang kuat berpegang pada agama mengadu tentang kumpulan wanita sekularis seramai lebih kurang  500 orang telah mengadakan demonstrasi. Mereka berarak di jalan-jalan raya di ibu negara (Algiers, Algeria) menyatakan sejumlah tuntutan berkaitan dengan kekeluargaan atau yang dinamakan sebagai undang-undang kemasyarakatan seperti melarang cerai dan poligami, menuntut persamaan antara lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka, membolehkan wanita Islam berkahwin dengan lelaki bukan Islam dan pelbagai tuntutan lain.

Maka saya (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) berkata kepada golongan mahasiswi yang bertanyakan saya tentang perkara di atas, sebagai membalas demonstrasi sekularisme: hendaklah kumpulan wanita muslimah yang beriltizam mendukung penentangan terhadap ajaran sekular, dalam jumlah 1500 orang wanita! Mengalahkan demonstrasi sekular terdahulu seribu kali! Kamu menyeru supaya menghormati ajaran syari’at Islam.

Realitinya selepas beberapa bulan diadakan demonstrasi yang umumnya terdiri dari berbilion wanita yang menyokong syari’at Islam, sekalipun disertai oleh sebilangan kecil golongan lelaki.

Tidak diragukan pensyari’atan demonstrasi seperti di atas, berlainan demonstrasi lain yang menolak hukum syari’at yang telah ditetapkan Allah. Ulama fiqh tidak berfatwa akan keharusannya.

Sadd al-Zarâ’i’ (mencegah cara-cara yang bertujuan kepada keburukan):

Adapun mengenai larangan demonstrasi dan tunjuk perasaan secara aman kerana ia mungkin dimanipulasi oleh golongan vandalisme sebagai alat memusnahkan harta-benda dan kemudahan, mengancam ketenteraman dan menyebabkan kebimbangan. Maka sebaiknya kaedah Sadd al-Zarâ’i’ jangan diluaskan skopnya, sehingga menyebabkan faktor yang menjadikan demonstrasi haram lebih banyak dari kebaikannya.

Memadai apabila kita berkata demonstrasi aman adalah harus jika mencukupi syarat-syarat tertentu yang boleh memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kerosakan yang kadangnya berlaku. Seperti berdemonstarsi di dalam kawalan polis atau pihak penyelia demonstrasi berakujanji mengendalikan demonstrasi mengikut cara sewajarnya sehingga tidak berlaku kekacauan dan mengganggu ketenteraman masyarakat. Mereka memikul tanggungjawab mengenainya. Demonstrasi sedemikian dipraktikkan di negara-negara yang maju dari segi material.

Di dalam al-sunnah dalil keharusan demonstrasi:

Saya (Dr. Yûsuf al-Qardâwi) yakin bahawa terdapat pada dalil-dalil dan iktibar syara’ dari peristiwa pada zaman Rasulullah saw dan para sahabat ra yang kita telah bentangkan apa yang cukup sebagai bukti mengharuskan demonstrasi aman apabila untuk menunjukkan tuntutan yang diakui dari segi syara’ oleh satu kelompok dan masyarakat umum.

Tidak menjadi keperluan jika ingin meminta dalil syara’ yang khusus mengenai demonstrasi, samada dalil dari al-Qur`an atau dari hadis, atau peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw dan para al-Khulafâ` al-Râsyidîn.

Bersama penjelasan terdahulu, kami sebutkan peristiwa yang menjadi bukti. Peristiwa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah saw. Iaitu ketika ‘Umar bin al-Khattâb ra memeluk Islam. Selepas ‘Umar meriwayatkan kisah awal Islamnya, maka hendaklah kita mendengar dari ‘Umar yang menyampaikan tentang kisah perarakan Rasulullah saw dan para sahabat ra. Apabila ‘Umar masuk ke rumah al-Arqâm bin Abî al-Arqâm dengan mengucapkan syahadah,  dia berkata: wahai Rasulullah, bukankan kita berada di atas kebenaran jika kita mati dan hidup? Baginda saw menjawab: Ya, demi tuhan yang diriku di dalam kekuasannya, sesungguhnya kamu dalam kebenaran jika kamu mati dan hidup. Dia berkata lagi: maka kenapa harus bersembunyi? Demi tuhan yang mengutuskan engkau pasti engkau akan keluar. Lalu kami (para sahabat) mengeluarkan baginda saw dalam dua barisan. Hamzah dalam satu barisan dan aku (‘Umar) dalam barisan lain sehingga kami memasuki masjid. ‘Umar berkata: lalu puak Quraisy memandang aku dan Hamzah, maka mereka ditimpa kemurungan yang tidak mereka sebelum ini. Maka Rasulullah saw menamakan dengan al-Fârûq.

Sesiapa yang mempelajari sirah kenabian dan sunnah Nabi Muhammad saw pasti akan menemukan contoh-contoh peristiwa yang lain.

والحمد لله رب العالمين

Diterjemahkan dari: Fatwa dan hukum oleh Dr. Yûsuf al-Qardâwi

Sumber: http://qaradawi.net/fatawaahkam/30/4929-2011-08-08-08-17-10.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s